Seni Jaya perluas pengaruh ambil alih Ganad Media
Source
KUALA LUMPUR: Seni Jaya Corporation Bhd (Seni Jaya), penyedia media luar rumah (OOH) terkemuka negara, mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Seni Jaya Sdn Bhd, memeterai Perjanjian Jual Beli Saham dengan Dwi Mewah Sdn Bhd untuk mengambil alih 100 peratus ekuiti Ganad Media Sdn Bhd.
Ditubuhkan pada 1986, Ganad Media ialah jenama kukuh dalam industri OOH dengan portfolio pengiklanan keterlihatan tinggi di lokasi utama bandar. Pemerolehan ini dilihat sebagai langkah penting bagi Seni Jaya dalam memperluas asas pelanggan, mempelbagaikan produk dan mengukuhkan kedudukan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya, Jeff Cheah See Heong, berkata langkah itu adalah pengembangan strategik yang akan menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat.
"Ganad Media membawa legasi tapak premium, reputasi kukuh dan hubungan pelanggan yang bernilai. Dengan penggabungan kepakaran, kami menyasarkan penyelesaian pengiklanan lebih berkesan serta membuka potensi baharu dalam pasaran," katanya.
Beliau menambah portfolio Ganad Media, termasuk lokasi mercu tanda di Kuala Lumpur, akan melengkapi aset sedia ada Seni Jaya sekali gus mewujudkan tawaran lebih berkualiti dan berimpak.
Pengambilalihan ini juga menegaskan komitmen Seni Jaya untuk membentuk landskap OOH Malaysia menjadi lebih moden, berteknologi dan mampan, selain mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan.
Sehingga jam 5 petang, saham Seni Jaya ditutup pada 42 sen dengan modal pasaran berjumlah RM89.7 juta.
Sep 23,2025